CERITA HUJUNG MINGGU KE THE GASKET ALLEY PETALING JAYA | Hujung minggu tiba lagi, kali ini cuti agak panjang iaitu sejak hari Jumaat (16 September 2022) lalu sempena menyambut Hari Malaysia.. Sehari suntuk duduk di rumah sejak hari Jumaat, maka saya mencadangkan kepada papa untuk ke The Gasket Alley yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya.
The Gasket Alley |
Cuaca ada hari Sabtu (17 September 2022) agak sejuk sebab hujan renyai-renyai sejak awak pagi. Perjalanan kali ini tanpa dirancang kerana idea untuk ke sini datang secara spontan apabila mama takde idea untuk pergi berjalan-jalan. Tiba-tiba nama The Gasket Alley muncul di fikiran saya. Saya ada terlihat gambar-gambar menarik tempat ini di Instagram tapi saya tak pasti apa yang terdapat di situ.
Jalan jam disebabkan kemalangan |
Mama kata, kalau ingin berjalan-jalan pastikan bukan shopping mall, kalau boleh tempat baru yang tak pernah dikunjungi dan ada tempat makan menarik. Ciri-ciri itu ada di sini. Kami bertolak dari Seremban pukul 12.30 tengah hari dan tiba di sana dalam pukul 2.15 petang kerana jalan jam disebabkan kemalangan jalanraya.
Range Rover |
Teruja saya bila tiba di sini.. Pemandangan pertama saya lihat sebuah Range Rover lama berwarna hijau. Mungkin ada cerita di sebalik Range Rover ini sebab itu ia dipamerkan di sini.
Cawangan Harley-Davidson di Petaling Jaya |
Tak jauh dari Range Rover tersebut ada sebuah kedai Harley-Davidson iaitu jenama motorsikal Amerika yang menjual perkakasan, pakaian dan barang-barang berkaitan jenama ini.. Motorsikal Harley-Davidson juga ada dijual di sini. Saya tertarik dengan motor Harley-Davidson yang dipamerkan di sini. Motorsikal Harley-Davidson nampak mewah dan bergaya.
#ootd |
Saya juga tidak melepaskan peluang bergambar di salah sebuah kedai menjual pakaian. Bila lihat gambar ini, saya agak terkilan kerana tidak mengambil gambar kenangan di sebelah motor Harley-Davidson tadi.
Cafe di The Gasket Alley |
Di sini ada beberapa kedai menjual pakaian dan kasut, tak lupa juga cafe menjual snek. Saya tak pasti nama restaurant tersebut tetapi salah satu daripadanya Ramen Bar Shi Shi Do. Semua restaurant atau cafe ini tidak halal.
Kawasan The Gaskey Alley ini tak luas, jadi dalam tempoh 15 minit sahaja saya sekeluarga habis ronda keseluruhan tempat. Pada pendapat saya tempat ini sesuai sebagai instagrammable spot sahaja. Alangkah baik kalau ada cafe lain yang menghidangkan makanan halal.
Selepas itu, kami mencari tempat makan di Kelana Jaya dan terus bertolak balik ke Seremban lebih kurang pukul 5.30 petang.